100 hari sebelum kematian- ia merupakan tanda pertama daripada Allah kepada hambanya dan hanya disedari orang yang dikehendakinya. Tanda-tanda ini lazimnya berlaku selepas Asar di mana seluruh tubuh dari hujung rambut hingga hujung kaki akan merasa getaran seakan-akan menggigil contohnya seperti daging lembu yang baru dipotong. Jika diperhatikan dengan teliti kita akan dapati daging tersebut seakan-akan bergetar.
40 hari sebelum kematian- tanda ini juga lazimnya berlaku selepas waktu Asar, di mana bahagian pusat seseorang terasa berdenyut-denyut. Waktu ini daun yang bertulis nama orang berkenaan akan gugur daripada pokok yang terdapat di atas Arasy Allah Subhanahu Wata'ala.
7 hari sebelum kematian- tanda ini hanya diberi kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan iaitu orang yang ditimpa sakit yang tidak berselera untuk makan, tiba-tiba berselera untuk makan atau pun seseorang yang tidak berdaya untuk bergerak, tiba-tiba mampu berjalan dan melakukan sesuatu kerja dengan sendiri tanpa bantuan daripada sesiapa.
3 hari sebelum kematian- pada masa ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kanan dan kiri, jika tanda ini dapat dikesan dan disedari maka sebaik-baiknya ia berpuasa supaya perutnya tidak mengandungi najis dan ini akan memudahkan pengurusan yang akan memandikannya kelak.
Satu hari sebelum kematian- juga akan berlaku sesudah Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak lagi berkesempatan menemui waktu Asar keesokan harinya.
Tanda terakhir- bakal berlaku keadaan di mana seseorang merasakan suatu keadaan sejuk di bahagian pusat dan akan turun ke pinggang seterusnya naik kembali ke halkum. Ketika ini hendaklah seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah dan berdiam diri sementara kedatangan malaikat maut mencabut nyawa.