Tanda-tanda kematian menurut ulama' benar dan wujud. Cuma ketakwaan sahaja yang dapat membezakan kepekaan kita terhadap tanda-tanda tersebut.
Terdapat banyak tanda atau dalil yang menunjukkan kepada kita bahawa Allah Subhanahu Wata'ala tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-Nya. Tanda yang diberikan itu adalah supaya kita umat Islam sempat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah. Tanda-tanda ini hanya diperlihatkan untuk orang Islam sahaja.
100 hari sebelum kematian- ia merupakan tanda pertama daripada Allah kepada hambanya dan hanya disedari orang yang dikehendakinya. Tanda-tanda ini lazimnya berlaku selepas Asar di mana seluruh tubuh dari hujung rambut hingga hujung kaki akan merasa getaran seakan-akan menggigil contohnya seperti daging lembu yang baru dipotong. Jika diperhatikan dengan teliti kita akan dapati daging tersebut seakan-akan bergetar.
Bagi mereka yang sedar dan terdetik di hati bahawa kemungkinan ini adalah tanda-tanda kematian, getaran itu akan hilang secara tiba-tiba.
Sebenarnya inilah peluang terbaik untuk kita memanfaatkan masa yang ada untuk menyiapkan diri dengan amalan yang akan dibawa sebagai bekalan sesudah mati.
Sebaliknya bagi yang tidak menyedari keadaan ini, tanda tersebut akan berlalu begitu sahaja di mana masa yang ada tidak dimanfaatkan sebaik mungkin malah seseorang itu terus leka dan hanyut dengan dunianya tanpa mengingati mati.
40 hari sebelum kematian- tanda ini juga lazimnya berlaku selepas waktu Asar, di mana bahagian pusat seseorang terasa berdenyut-denyut. Waktu ini daun yang bertulis nama orang berkenaan akan gugur daripada pokok yang terdapat di atas Arasy Allah Subhanahu Wata'ala.
Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaan ke atas individu tersebut. Antaranya ia akan mula mengikutnya sepanjang masa bahkan terjadi juga di mana malaikat ini akan memperlihatkan wajahnya sambil lalu dan jika keadaan ini terjadi dan mereka ternampak, maka mereka akan jadi bingung seketika.
7 hari sebelum kematian- tanda ini hanya diberi kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan iaitu orang yang ditimpa sakit yang tidak berselera untuk makan, tiba-tiba berselera untuk makan atau pun seseorang yang tidak berdaya untuk bergerak, tiba-tiba mampu berjalan dan melakukan sesuatu kerja dengan sendiri tanpa bantuan daripada sesiapa.
3 hari sebelum kematian- pada masa ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kanan dan kiri, jika tanda ini dapat dikesan dan disedari maka sebaik-baiknya ia berpuasa supaya perutnya tidak mengandungi najis dan ini akan memudahkan pengurusan yang akan memandikannya kelak.
Ketika itu, mata hitam juga tidak lagi bersinar dan bagi orang yang sedang sakit, hidungnya kelihatan jatuh secara perlahan-lahan dan ia dapat dikesan jika seseorang itu melihatnya dari bahagian sisi. Begitu juga dengan telinganya yang kelihatan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur masuk ke dalam, telapak kakinya terlunjur juga perlahan-lahan dan jatuh ke hadapan serta sukar ditegakkan.
Satu hari sebelum kematian- juga akan berlaku sesudah Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak lagi berkesempatan menemui waktu Asar keesokan harinya.
Tanda terakhir- bakal berlaku keadaan di mana seseorang merasakan suatu keadaan sejuk di bahagian pusat dan akan turun ke pinggang seterusnya naik kembali ke halkum. Ketika ini hendaklah seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah dan berdiam diri sementara kedatangan malaikat maut mencabut nyawa.
0 comments:
Post a Comment