BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 13, 2011

selagi aku terdaya...

“ Maafkan daku.”  Hanya ini yang mampu ku luahkan kini. Kelu lidah memandang kalian. Terasa   titis-titis mutiara tangis hangat mengalir lesu di pipiku. Lemah kakiku melangkah pergi meninggalkan kalian yang sememangnya segalanya bagi ku. Terasa pedih menular ke dalam setiap salur darahku. Hanya satu yang kuharapkan... semoga perpisahan ini bukanlah untuk selamanya. Semoga adanya pertemuan untuk kita kembali bertaut menyemai kasih, menyuburkan ukhwah dengan pasuan cinta membugar di sana..

Imbas kembali...

Malam 1 ramadhan, rumah ibu bapaku, Kuantan Pahang..

“ Ma, boleh Ateh buat satu permintaan dengan Ma?” , kata ku setelah melabuhkan punggungku di sebelah ibuku yang sedang membaca novel kegemarannya. Itulah hobi wanita kesayanganku ini.

“Apa yang awak nak?” . Ringkas ibuku membalas pertanyaanku dengan pertanyaan juga. Matanya masih lagi menatap lembaran novel tersebut.

“Boleh Ateh curi masa Ma sebentar?”. Pintaku sambil memandang tepat kearahnya.

Sambil menutup dan mengetepikan novelnya, ibuku memandangku dengan penuh tanda tanya. Barangkali pelik dengan tingkahku.

“Kenapa ni?” soalnya. “Ada buat salah ke?”

“Eh! Mana ada la, Ma. Cuma Ateh rindukan Ma. Dah lama tak balik rumah.” Cepat - cepat aku menidakkan kerisauan ibuku itu. Sambil memandang kasih raut tuanya, tanganku mencapai tangannya yang mula berkedut. Ku usap penuh kasih dan berkata “Ateh sayangkan Ma. Walau apa pun yang bakal terjadi, Ateh mohon, janganlah Ma lupakan lima perkara.”

“Lima perkara? Awak ni kenapa tetiba merepek ni? Dah buang tebiat ke?” balas ibuku.

Sudah dapat ku duga reaksi ibuku itu. Sememangnya ibuku bersikap demikian. Kerisauannya yang mendalam terkadang terluah dalam kata – kata berunsur gurauan. Bukan bermaksud untuk menyakiti, namun lebih kepada mencipta ruang kemesraan dalam sesi luahan si anak kepada ibunya.

“Aish! Tak sayang Ateh eh?” soalku sambil pura – pura merajuk. Ku pandang lantai alas kaki ku.
Mengharapkan kata – kata pujukan daripada ibuku.

Gelak tawa ibuku tercetus. Lucu agaknya dengan kaletah ku.

“Siapa tak sayang anak?” Sambil memandangku dengan pandangan mengusik.

Tersentuh hati ini dengan kenyataannya. Damainya hati ini mendengar pengakuan ikhlas itu yang
selama ini sering dilanda resah gelisah.

“Ma. Tolong janji dengan Ateh, bahawa Ma takkan melupakan lima perkara yang Ateh nyatakan tadi.” Pinta ku.

“Bagitahu dan jelaskan dulu kepada Ma, apakah lima perkara tu sebelum Ma berjanji.” Dengan lembut ibuku membalas usapan tanganku.

“Hurm.. Ateh harap Ma takkan salah faham dengan apa yang bakal Ateh katakan sebentar lagi. Ateh Cuma harap agar Ma takkan melupakan lima rukun Islam yang merangkumi ucapan syahadah, solat, puasa, zakat dan haji.  Ucapan syahadah itu sememangnya semua orang mampu melakukannya. Namun solat, itu sangat berat untuk dilaksanakan oleh keluarga kita. Ateh mintak maaf kalau Ateh menyinggung perasaan Ma. Tapi Ateh takut. Ateh takut jika ada diantara kita yang pergi mengadapNya tanpa sempat untuk melafazkan taubat yang meruntun jiwa. Hidup itu indah, Ma. Namun, cinta dan kasih –Nya lebih indah dan mendamaikan. Selagi kita bertunjangkan kehidupan berlandaskan nama ‘hidup’ semata – mata, maka hilanglah rasa indahnya pada nur kasihNya, Ma”
 Dengan penuh berhati – hati, aku menyingkap maksud sebenar yang telah lama aku pendamkan.

Sejujurnya, agak memalukan untuk ku akui bahawa keluargaku bukanlah sebuah keluarga yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Aku sendiri terkapai – kapai dalam mencari cahaya kasih dan keredhaan Ilahi. Aku mahukan perkara yang sama untuk ahli keluargaku. Aku mahukan perubahan yang nyata dalam keluargaku. Berat sangat ke permintaanku ini?

Ibuku memandangku dengan pandangan yang sukar untuk ku ungkaikan apakah maksud sebenarnya. Rasa serba salah mula menyelubungi hati ini. Adakah aku sudah mengguris hati ibuku dengan permintaanku itu? Ya Allah, aku mohon Kau lembutkan hati ibuku untuk kembali ke jalanMu.

“Apa sebenarnya maksud awak, Ateh?” soal ibuku dengan nada yang seakan – akan terkejut.

“Ma. Walaupun kita beragama Islam, Ateh perhatikan keluarga kita tak mempraktikkan Islam itu sebagai Ad-Din. Yang bermaksud Cara Hidup. Ada lima perkara asas dalam Islam yang sepatutnya menjadi tonggak utama dalam kehidupan. Dan dalamnya ada tiang agama, yakni tiang itu adalah solat. Maafkan Ateh skali  lagi , Ma. Ateh tak berniat untuk berlagak pandai atau alim dalam perkara sebegini. Kerana, Ateh juga lahir dalam rumpun keluarga ni. Apa yang Ateh cuba ketengahkan sekarang cuma Ateh teringin melihat perubahan positif dalam keluarga kita. Bukan lagi kehidupan bebas sepertimana sebelum ini.”

Sememangnya keluarga ku tidak menitikberatkan tentang solat. Aku sendiri mempelajari solat daripada buku – buku dan ustazah – ustazah di sekolah ku dahulu. Telah lama aku pendamkan hasrat untuk mengubah cara hidup keluargaku. Namun baru kini aku mempu meluahkannya setelah mencapai usia 20 tahun. Semakin jauh aku terpisah daripada keluarga ku , semakin dalam jurang antara kami. Dan semakin jauh mereka daripada jalan yang diredhai-Nya.

Aku mempunyai seorang kakak yang berusia 25 tahun. Yang kini berkerja sebagai salah seorang eksekutif di sebuah syarikat ternama di Johor. Cara hidupnya kini lebih barat daripada orang barat sendiri. Hurff.. Hanya keluhan yang mampu aku luahkan. Terasa sangat mustahil untuk aku menegurnya kerana dengan jelas hubungan kami bagaikan Israel dan Islam. Namun begitu, kasih ku kepadanya terlalu menebal di hati.

Ibuku terdiam membisu. Terdetik di jiwa, adakah aku patut hentikan permintaan ku ini atau meneruskannya? Namun ini adalah peluang terakhirku untuk membetulkan jalan hidup keluargaku. Kerana, esok, iaitu hari pertama puasa, aku akan berangkat kembali ke kampusku. University Kuala Lumpur, MICET, di Alor Gajah, Melaka. Kuantan dan Melaka bukanlah dua tempat yang dekat.

“Ma. Dalam siri buku Laksamana Sunan hasil karya Ramlee Awang Murshid yang selama ni Ma baca ada mengatakan ‘mati itu pasti, hidup itu insya Allah’. Betul kan? Sememangnya mati itu pasti akan mendatangi semua orang , Ma. Namun yang membezakan cuma masa, tempat, dan tarikh. Bukan umur yang menjadi batu ukuran. Andai ditakdirkan Ateh dulu yang pergi mengadap Ilahi, Ma atau Abah takkan dapat menghalangnya. Atau cuba untuk menawarkan diri sebagai penganti. Masing -masing bersama takdir hidup masing – masing yang telah lama tertulis di Loh Mahfuz. Kita hanyalah umpama pemain sinetron kehidupan. Yang cuba untuk melonjakkan diri masing-masing dalam kehidupan yang singkat ini.”

Aku cuba untuk selami mata ibuku yang mula bergenang. Maafkan Ateh, Ma. Ateh terpaksa meneruskan kata-kata ini walaupun ianya seumpama menghiris hatimu kepada kepingan-kepingan luka.

“Ma. Ateh sayangkan Ma, Abah, Kak Long dan adik. Ateh tak nak terpisah daripada kalian. Namun Ateh sedar kehidupan di dunia ini terlalu singkat untuk Ateh menyemai kasih diantara kita. Ateh mahukan kehidupan bahagia kita bersama di syurga kelak. Andai permintaan Ateh itu terlalu tinggi dan sukar untuk Ma penuhi, maafkan Ateh. Cuma Ateh mohon, fikirkanlah dahulu permintaan daripada anakmu ini.”

Sebak hatiku tika air hangat mula membasahi pipinya. Terlalu beratkah permintaan ku itu? Ku sapu air matanya. Lantas aku peluk erat tubuh tua ibuku dengan penuh rasa kasih. Terasa hangat tika pelukanku dibalasnya.

“Dah lewat sekarang Ma. Hampir pukul 12 tengah malam. Ma tidur la, ok? Nanti nak bangun sahur pulak.” Ujar ku setelah ku rungkaikan pelukan itu.

Ibuku sekadar mengangguk dan sejurus meninggalkan aku keseorangan di ruang tamu. Bapaku masih lagi belum pulang. Ku menoleh kearah pintu bilik adikku yang tertutup rapat. Khairul Adha bin Azmi, pelajar tingkatan empat di salah sebuah sekolah sains di Kuantan. Tidak di nafikan, adikku lebih menyerlah daripada ku dalam bidang akademik. Malah dalam sukan juga, adikku dikenali ramai kerana keaktifannya dalam seni mempertahankan diri, iaitu silat dan juga sukan rugby. Sebagai kakak, aku berbangga dengan pencapaiannya. Namun, masih terkesan dalam diriku dan hatiku peristiwa dia menenkingku hanya kerana aku menegur sikapnya yang mengabaikan solat. Sejak peristiwa itu, hubungan kami tidak lagi seakrab dulu. Dia mula menjarakkan diri daripadaku. Malah tega hatinya menggelarku “ ustazah-wanabe”.

Dengan langkah berhati -  hati, aku buka pintu biliknya. Melangkah masuk dengan pandangan mata yang dipaku kearah sekujur tubuh yang dibalut selimut. Barangkali adikku kesejukan. Aku melabuhkan punggung disebelahnya. Tangan ku membelai lembut rambut adik yang ku kasihi ini. Dia lah tempat aku meluahkan segala masalah ku dahulu. Keakraban kami menyinari rumah ini. Gelak tawa kami umpama alunan ritma yang takkan mungkin terpadam. Kenakalan kami sering mengundang senyum tawa ibu dan bapa kami. Namun itu cerita dulu. Kini, Adha dan aku umpama orang asing yang tinggal sebumbung. Terlalu aku rindukan kemesraan itu. Terlalu aku rindukan usik dan tawanya.

“Adha, andai masa dapat Ateh putarkan, Ateh nak sangat balik semula ke masa kita kecik-kecik dahulu. Sama-sama kita mengejar ayam. Tunggang kambing biri-biri Pak Long dan berlagak konon –kononnya koboi menunggang kuda. Masih Ateh ingat masa Pak Long tarik telinga kita dan hadapkan kita kepada Ma dan Abah. Marah betul orang tua tu kan?”

Aku berkata-kata sendirian. Adha masih lagi lena diulit mimpi. Menitis air mataku tika ini. Sungguh tak dapat aku nafikan betapa dalamnya kasih ku kepada adikku ini. Ya Allah, janganlah Kau tutupi mata hatinya untuk melihat rona sinar kasih-Mu. Amin...

Aku perhatikan ruang biliknya. Tergantung medal-medal kemenangannya. Ada juga gambar-gambar saat kemenangan yang membanggakan. Kelincahannya dalam silat takkan ada siapa pun yang dapat menafikannya. Dan rugby? Terlalu pantas dia berlari. Masih segar dalam ingatan, saat aku menghadirkan diri untuk menonton dan memberi semangat kepadanya dalam perlawanan rugby kebangsaan dahulu. Setelah memperolehi kemenangan, dia berlari kearahku sambil menjulang piala kemenangan. Seluruh pasukannya mendatangi kami sorakan girang. Adha memelukku lantas mengatakan kemengangan itu adalah untukku yang tak pernah jemu memberi sokongan. Wahai adikku, ketahuilah bahawa, dikau satu-satunya adikku. Kepada siapa lagi harus aku mencurahkan kasih, melambungkan harapan berserta talian doa? Ateh takkan pernah lupa mendoakan kau, Adha.
Ku belai rambutnya untuk kali terakhir. Lanttas bangkit menuju ke pintu. Di saat pintu itu ku buka, sekali lagi aku memandang adikku. Tolehan kasih beserta rindu seorang kakak kepada adiknya.

Pagi 1 ramadhan, rumah ibu bapaku..

“Ma.. Abah... Ateh pergi dulu, k? Maafkan Ateh andai ada silap dan salah. Ateh mohon agar Ma dan Abah halalkan makan minum Ateh selama ini. Doakan Ateh di perantauan nanti.” Kataku sambil menyalami tangan mereka. Ku kucup kedua-dua tangan tua itu.

“Mak ayah mana yang mendendami anak sendiri? Abah dan Ma sentiasa mendoakan awak. Awak tu jangan lupa call Ma and Abah bila dah sampai nanti. Jaga diri elok-elok. Belajar betul-betul. Jangan ponteng-ponteng lagi.” Pesan Abah tika mengangkat beg ku kedalam teksi.

Hanya senyuman yang dapat aku berikan. Ku tatap raut wajah mereka sepuas hati. Terlalu berat rasanya untuk berpisah dengan mereka. Entah kenapa hatiku menggesaku untuk terus berada di rumah. Di sisi mereka. Namun, desakan kuliah dan tugasanku di kampus lebih memberat di pundak ini.

“Tak boleh ke balik esok je,Ateh? At least, berbuka dulu dengan family. Petang ni, kak long kamu balik. Dia pun dah lama tak balik Kuantan. Nanti boleh pergi beli baju raya sama-sama” Pujuk Ma. Lembut suaranya. Tingkahnya agak berlainan pagi ini. Nampak berat untuk melepaskan ku pergi.

“Tak boleh, Ma. Ateh ade banyak assignment yang tak siap lagi. Lagi pon ada test minggu ni. Kalau boleh, Ateh pun tak nak balik lagi. Rindu Ma and Abah tak terlepas lagi” ujarku sambil memaut mesra tangannya.

Diriku dipeluk ibu. Dapatku rasakan sendu yang terbuku dalam dirinya. Pelukannya kejab terasa.

“Ma.. Maafkan Ateh atas segala kata-kata Ateh semalam. Tapi Ateh mohon, janganlah Ma lupakan yang lima itu. Ateh tak berkesempatan lagi meluahkan permintaan itu kepada Abah. Harap ada kesempatan untuk Ateh menyampaikannya satu hari nanti.” Esakan mula kedengaran di cuping telinga ku. Dalam dakapan ibuku, aku sekali lagi meluahkan harapan yang menggunung. Demi keredhaan Ilahi, aku inginkan keluarga ku bersatu di atas jalan-Nya. Bersama berpimpingan mencari sinar syurgawi yang menerangi hati para nabiya dan syuhada.

“Kalau itu yang awak mahukan, Ma cuba. Maafkan Ma kerana mengabaikan tanggungjawab Ma sebagai ibu kepada awak. Ma lupa tanggungjawab Ma sebagai penyambung warisan Islam yang sepatutnya dibentuk sedari kecil. Tugas seorang ibu bukan hanya melahirkan zuriat dan membesarkannya, tapi mendidiknya dengan unsur-unsur Islam jua. Sekarang terbalik pula. Awak yang mengajar Ma erti kehidupan. Bahagia hati seorang ibu yang memiliki anak seperti awak. Tapi rugi bagi Ma yang mengabaikan awak. Sebutir permata dalam keluarga. Maafkan Ma, sayang.”

Sayu suara ibuku menerpa pendengaran ini. Ya Allah, syukur ku hanya untuk-Mu. Kau sudah membuka mata hati ibuku demi cahaya hidayah dan kasih-Mu. Pinta ku kini cuma Kau buka hatinya untuk sujud kepada-Mu di setiap harinya. Jauhkanlah ibuku daripada kelalaian lagi. Bantulah ibuku dalam hidup dan matinya. Dunia dan akhiratnya. Amin....

Aku ungkaikan pelukan itu. Ku tatap mata ibuku yang bergenang tangis. Lantas hanya senyuman yang mampu ku hadiahkan untuk tangisan keinsafan itu. Syukur ku panjatkan buat Ilahi.

“Ateh doakan semoga keimanan itu kekal hingga ke helaan terakhir kita semua, Ma. Untuk pengetahuan Ma, Abah, selama ini, sejak Ateh mula mengenali agama ini, hanya itulah doa Ateh. Dan Ateh berjanji, selagi Ateh terdaya, akan Ateh lafazkan doa itu di setiap solat dan sujud Ateh. Takkan mungkin Ateh lupa mendoakan kesejahteraan kita sekeluarga di sisi-Nya.”

Dengan senyuman, aku berlalu. Meninggalkan mereka yang ku sayang. Sepanjang perjalanan aku memikirkan tentang kepulangan ku kali ini. Walaupun kepulangan ku hanya untuk dua hari, namun, bagi ku inilah kepulangan yang paling bermakna. Akhirnya, dengan izin Allah s.w.t yang maha Mendengar setiap permintaan hamba-Nya, aku mampu melafazkan harapanku di hadapan ibuku. Dan aku pasti, ibuku telah pun menceritakan segalanya kepada bapaku. Dapat ku baca reaksi mukanya tika aku melafazkan doa di hadapan mereka sebentar tadi.

Teksi yang ku naiki terus membawa ku ke Terminal Makmur. Dari situ, aku menaiki bas S.P Bumi yang terus menghala ke Melaka Central, Melaka. Rakan kuliah ku akan menjemputku dari terminal tersebut.



7 ramadhan, uniKL MICET, Alor Gajah Melaka...

Sudah seminggu umat Islam menunaikan ibadah puasa. Begitu juga aku. Entah kenapa puasa pada tahun ini kurasakan tidak seperti biasa. Kekosongan melanda diri. Rindu kepada keluarga meluap-luap di hati. Setiap hari, aku pasti akan menelefon mereka. Bertanya khabar. Bergurau mesra. Dan berita yang paling menggembirakan ku sepanjang hidup ini adalah berita daripada ibuku mengenai dia, kak long dan Adha sudah mula menunaikan solat. Alhamdulillah, syukur Ya Allah.. Kau sudah pun memakbulkan doaku. Semoga keimanan dan taubat itu berkekalan hingga ke penghujung jalan mereka, Ya Allah..

Cuma..... Bapaku... Bapaku masih lagi belum menyertai mereka. Sejujurnya aku agak terkilan, namun, mungkin bapaku masih lagi memerlukan masa. Perubahan itu tidak sewajarnya di lakukan secara mendadak. Risau juga, cepat mereka berubah kearah kebaikan, cepat juga mereka bosan dan terus berpaling lagi. Untuk aku, aku tetap akan berdoa untuk nur hidayah keinsafan keatas mereka semua.

“ Syahadah! Are you coming or not? Be hurry la babe. It’s  getting late already! Hayya! Bersiap pun lambat ke?” suara Amira melaungkan nama ku dari luar bilik. Astaghfirullahalazim.. Aku terlupa! Aku sepatutnya keluar bersama mereka untuk ke bazaar ramadhan.

“Maaf Mira. Saya terlupa. Sebentar ya? Saya pakai tudung.” Kataku sambil tergesa-gesa mencapai tudung.

“Masya Allah. Umur belum 40, dah nyanyuk? Malanglah siapa yang jadi suami kau nanti.” Balas Amira sambil gelakkan aku. Aduh! Kerapkali aku di gelar nyanyuk. Semakin nyanyuk lah aku nanti. Kata-kata itu kan doa?

“Sudah.. Sudah.. Jangan nak merepek la Mira. Saya dah siap ni. Jom.” Ujar ku. Malas nak panjangkan perbualan kalau dia sudah masuk bab-bab suami ni. Kalau di layan, sampai maghrib la kami terus berdebat.

Aku terus berlalu menuruni tangga. Menuju ke kereta yang terletak di belakang blok asrama ku ini. Amira mengekoriku dari belakang sambil memainkan kunci keretanya di jari. Dan aku pula mula memicit kepala ini. Ya Allah, apakah ini ujian-Mu? Sakit ini walaupun sudah kerap ku rasakan namun kali ini kesakitannya lebih daripada biasa.

Tiba-tiba aku terjatuh. Rebah tanpa daya. Dapat ku dengar suara Amira menjerit memanggil namaku. Namun pandangan ku mula menggelap....






7 ramadhan,malam, Hospital Kerajaan Melaka (HKM)...

“ Excuse me, are you Cik Syahadah’s  friend? Where’s her family? Saya perlu berjumpa family Cik Nur Syahadah dengan segera. Kondisi beliau agak membimbangkan.” Seorang doctor cina menyapa Amira yang sedang menangis di satu sudut di hospital tersebut.

“ Ya. Saya kawan Syahadah. Dia roommate saya di university. Bagaimana keadaan dia doctor? Parah sangat ke? Kenapa dia boleh tiba-tiba pengsan? Dia sakit apa doctor? Tolong rawat dia doctor. Saya merayu pada doctor. Tolong lah rawat kawan saya tu.” Rayu Amira dengan tangisan yang masih mengalir di pipi. Hilang rasa malunya untuk menangis demi aku. Sungguh besar kasihnya terhadap seorang teman.

“ Cik Syahadah tak pernah bercerita kah tentang penyakitnya selama ini? Mengikut rekod kami, Cik Syahadah sudah 3 tahun menjalani rawatan untuk tumour di otaknya. Sememangnya kami tidak menggalakkan pembedahan kerana tumour itu terlalu hampir dengan modulla oblongata beliau. Sedikit kesalahan sahaja boleh mengakibatkan lumpuh seumur hidup atau mati dalam pembedahan. Terlalu besar risiko yang harus beliau sanggupi. Kerana itu, beliau memilih untuk menjalani beberapa terapi. For your information, she stopped her theraphy session with us since January this year. Its mean, its been 8 months she’s giving up with her medication. And daripada hasil pemeriksaan kami sebentar tadi, kami dapati tumour tersebut semakin membesar dan sudah pun mengganggu bahagian yang lain. Sekarang, Cik Syahadah dalam pemeriksaan rapi. Kami tempatkan beliau di unit rawatan intensif. She’s comma. I’m sorry to tell you that.” Walaupun penjelasan itu tidak terlalu terperinci, tapi cukup untuk buat air mata Amira semakin deras mengalir..

“Tolong selamatkan kawan saya doctor” rayu Amira.

“Saya akan cuba sebaik mungkin, cik. Sekarang, saya perlu bercakap dengan keluarga Cik Syahadah.” Kata doctor tersebut

“Keluarga dia dalam perjalanan, doctor. Mereka dari Kuantan.” Jawab Amira

“Baiklah kalau begitu. If they’re here, please tell them to see me in room 13. I got to go now.”

“Doktor, boleh tak saya nak tengok kawan saya sebentar?” pinta Amira.

“Boleh. Cik dibenarkan.”Kata doctor tersebut sambil berlalu meninggalkan Amira.






7 ramadhan, malam,bilik ICU HKM...

Sejuk terasa menyelubungi ruangan yang menempatkan aku kini. Amira menapak masuk kepadaku. Yeah.. Aku sedang koma. Namun, dapat kurasakan kehadirannya. Amira adalah teman ku sedari hari pertama aku di MICET. Terlalu banyak kenangan yang kami kongsi bersama.

“Syahadah... Kenapa kau merahsiakan semua ini daripada aku? Kau lupa ke janji yang diantara kau dan aku, tiada satu pun rahsia. Jangan tinggalkan aku, Syahadah.” Rayu Amira sambil menggenggam tanganku hampir ke pipi nya.

 Dapat ku rasakan air hangat menitis di tanganku. Ingin ku jawab segala pertanyaannya. Namun, aku tidak berdaya. Maafkan aku, Amira. Bukan niatku mengkhianati persahabatan kita. Cuma aku tak sanggup dilayan dengan baik semata-mata kerana simpati. Bukan kerana kau atau persahabatan ini tidak bermakna bagi aku. Maafkan aku jika perbuatan ku mengundang sayu di hatimu, teman.

“ Syahadah. Tolong cepat sembuh. Jangan kau tinggalkan aku. Kawan-kawan kita menanti kau untuk sama-sama beraya. Family kau pun dah on the way datang Melaka. Kau sanggup ke tengok mereka menangis kerana kau?” Rayu Amira lagi. Sayu hati ini mendengar rayuannya.

Keluarga ku dalam perjalanan ke Melaka? Astaghfirullahalazim. Adakah aku menyusahkan mereka? Ya Allah, ampuni aku. Sebenarnya, keluarga aku juga tak pernah mengetahui tentang penyakit ku ini. Ku pendamkan segalanya sendiri. Tak sanggup aku menggusarkan hati mereka memikirkan tentang diriku. Pengorbanan mereka bersama ku sedari kecil hingga dewasa sudah cukup membuatku rasa bersalah di atas tiap-tiap perkara yang menyusahkan mereka selama ini.


7 ramadhan, Kuala Pilah Negeri Sembilan....

“Abah, lambat lagi ke sampai ke HKM?” desak Adha.

“Sabarlah. Lagi 2 jam , sampailah kita.” Jawab Abah. Ringkas bernada resah. Hati tuanya turut mendesak agar perjalanan itu dapat dipercepatkan.

“Adha! Sabar boleh tak? Kak Long pun nak cepat sampai. Tapi, janganlah desak Abah. Better kamu  doa semoga Ateh ok.” Tegas kak long. Sikapnya yang matang menampakkan ketenangannya. Walaupun, dalam hati, hanya Allah yang tahu.

Semua yang ada dalam kereta itu terdiam. Sedari petang tadi, ketika Ma menyambut panggilan daripada Amira, hanya tangisan menemaninya. Kerisauan menujah hatinya. 'Ya Allah. Selamatkanlah anakku. Jangan Kau ambil dia sebelum aku. Izinkanlah permataku terus menyinar di muka bumi-Mu ini.' bisik hati Ma...

“Awak kenapa diam?” soal Abah kepada ibuku.

“Saya risaukan anak kita tu. Awak tak risau ke?” giliran ibuku pula menyoal.

“Saya risau. Tapi nak buat macam mana lagi? Budak tu sakit tapi sorok. Bertuah punya anak.” Bebel Abah.

“Eh abang ni! Anak tu tengah sakit, awak nak bebel pula?” getus ibuku.

“Mana ada saya membebel. Ayah mana yang tak risau anak dia sakit? Ateh tu manja dengan saya sejak kecil lagi. Mustahil saya tak risau. Dalam hati ni, meraung pun tak ada siapa yang dengar. Anak yang saya jaga dari kecil sampai besar depan mata. Hantar belajar ke menara gading. Anak yang bagi saya umpama permata dalam keluarga. Kalau bukan kerana permintaan dia hari tu, kita takkan sedar ketelanjuran kita dalam mengejar dunia. Betapa kita mengabaikan dia selama ni. Kepulangan dia hari tu bukan semata-mata kerana rindu. Tapi membawa hasrat yang menggunung tinggi. Hasrat yang kita tak pernah terfikir.” Panjang lebar bapaku merungkai persoalan ibuku.

Di belakang kereta terdengar esak tangis kak long dan Adha. Mungkin sahaja tersentuh dengan keprihatinan bapaku atau mungkin kerana tersedar dari lena di hanyut dunia yang sementara ini.

Ibuku terdiam di tepi. Adha cuba mencelah perbualan itu.

“Adha ada banyak buat salah dengan Ateh. Adha takut Adha tak sempat untuk minta maaf dengan Ateh. Adha rindukan Ateh. Malam Ateh balik rumah tu, Ateh ada masuk bilik Adha. Tapi Adha buat-buat tidur. Ateh menangis dalam bilik tu. Ateh cakap Ateh rindukan Adha. Ateh rindukan zaman kemesraan kami. Sebenarnya Adha pun rindukan Ateh. Dah lama Adha tak bertegur sapa dengan Ateh. Adha buat Ateh macam orang asing dalam rumah sendiri. Betapa kejamnya Adha. Padahal semua itu berpunca daripada teguran Ateh yang suruh Adha pergi menunaikan solat. Ateh tak salah pun. Ma, Abah, Kak Long... Berdosanya Adha melayan Ateh macam tu. Ateh tak pernah ketepikan Adha. Daripada kecil hingga besar, apa yang Adha inginkan, pasti Ateh penuhi. Ateh sanggup berlapar untuk Adha. Adha sayang Ateh. Adha tak nak kehilangan Ateh.”

Esakan Adha semakin kedengaran. Penyesalannya jelas tersuluh. Rintihan yang memilukan hati mereka yang mendengar.

Kak long terdiam memandang ke luar tingkap sambil membayangkan senyuman manis Ateh yang seringkali menyapanya pulang. Namun, seringkali juga kak long mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan senyuman yang dihulurkan. Tetapi, Ateh tetap juga tak pernah berputus asa dalam mendalami ukhwah di antara mereka. Kasih Ateh jelas tergambar. Pernah kak long mencuri dengar suara Ateh mengalunkan surah Yasin di dalam bilik. Lunak dan tegas suara adiknya itu. Ternyata alunan itu mengetuk pintu hatinya. Ya Allah.. Kenapa harus aku mengetepikan insan seistimewa Ateh selama ini? Kini, setelah hampir kehilangannya, barulah ku sedar betapa beruntungnya mempunyai adik sebegitu.

“Abang, tolong singgah ke petronas sebentar. Saya nak ke toilet.” Tiba-tiba suara ibuku memecahkan  dan lamunan kesunyian dalam kereta itu.

“Hmm.. Baiklah..” jawab Abah lantas membelok ke persimpangan petronas tersebut.

Dan.........

DUMMMMMM!!!!!!!!!!!!
“Ya Allah!!!”

..................................................................................................................................................................

Hanya pekikan dan laungan sahaja yang kedengaran selepas itu. Disusuli dengan kehadiran ambulance selepas beberapa minit. Orang ramai mula mengerumuni kawasan kejadian. Kereta Perdana V6 milik bapaku bertembung dengan sebuah treller yang sedang meluncur keluar daripada sebuah persimpangan yang bertentangan.

Kesemua ahli keluargaku meninggal di tempat kejadian. Aku? Aku masih lagi menunggu kehadiran mereka di ward ICU Hospital Kerajaan Melaka. Dalam keadaan koma, dapat aku rasakan kehilangan itu. Ingin ku meraung sekuat hati, namun apakan daya. Aku sendiri terlantar tanpa sejalur pun kekuatan. Lemah segalanya. Fizikal dan mental. Terlalu berat di rasakan ujian-Mu kali ini, Ya Allah...


27 ramadhan, ICU HKM....

Saban hari aku dilawati teman kampus ku. Meniupkan semangat kedalam diri ini. Namun, semuanya ternyata sia-sia. Aku masih lagi belum bangun dari koma ini. Untuk apa harusku berjuang melawan kesakitan ini? Aku sudah tak punya keluarga. Sudah 20 hari aku di tinggalkan sendiri. Yang pasti, tiada lagi kasih Ma, Abah.. Tiada lagi usikan Adha.. Dan tiada lagi ketegasan Kak Long. Syawal bakal menjelang, dan aku tak pula kuat untuk menghadapinya sendiri. Maka...... relakan ku pergi....

1 syawal.. ICU HKM...

“Nurse, nanti you buat record kematian pesakit. Then you call family dia. Inform mereka tentang kematian dan minta mereka tuntut janazah.”

Seorang doktor mengarahkan nurse disitu. Namun nurse itu kelihatan terpinga-pinga sambil memandang raut wajah doktor itu.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soal doktor tersebut dengan kepelikan.

“Keluarga arwah sudah meninggal, doktor. Ketika mereka dalam perjalanan ke Melaka untuk ziarahi arwah. Arwah sebatang kara. Yang ada cuma rakan kuliah sahaja.” Jelas nurse tersebut.

Doktor itu kehilangan kata-kata. Bertapa malangnya nasib arwah. Di tatap wajah arwah Nur Syahadah binti Azmi itu dengan perasaan bercampur baur. Antara simpati dan kagum. Selajur bibirnya bergerak perlahan-lahan melafazkan ayat suci Al-Quran, Al-Fatihah kepada arwah. Semoga mereka sekeluarga dipertemukan di alam sana.


0 comments: